KOTA SAMARAHAN, 28 MAC: Bakal haji dinasihatkan supaya menjaga kesihatan masing-masing sekali gus mematuhi syarat Istito’ah sebelum berlepas ke Tanah Suci bagi mengerjakan rukun Islam kelima itu.
Pakar Perubatan Keluarga Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Professor , Dr Kamarudin Kana berkata, ia bagi membolehkan ibadah haji mereka dapat dilakukan dengan penuh tertib dan sempurna.
“Bagi mereka yang telah terpilih dan lulus ujian kesihatan, mereka sebenarnya telah memenuhi syarat Istito’ah dari segi kemampuan kesihatan.
“Berbaki lebih kurang dua bulan lagi sebelum penerbangan pertama ke tanah suci, ini adalah satu tempoh bertenang atau tempoh berjaga-jaga dan dalam tempoh ini kita perlu menjaga tahap kesihatan mental dan fizikal kita,” katanya ketika ditemui TVS di Fakulti Perubatan dan Kesihatan Sains UNIMAS baru-baru ini.
Dr Kamarudin menambah lagi bakal jemaah haji juga disaran untuk meneruskan amalan pemakanan yang sihat bagi memastikan kemampuan fizizal bakal jemaah haji bersedia untuk melaksanakan ibadah tersebut.
“Pemakanan kita hendaklah diteruskan dengan pemakanan yang seimbang, sesuai dengan umur dan juga kita perlu memastikan pemakanan kita sesuai dengan sukatan yang disarankan Kementerian Kesihatan (KKM) dengan mengunakan pendekatan suku-suku separuh,
“Kurangkan gula dan garam dalam pemakanan dan lebihkan makan buah-buahan dan sayur-sayuran,” katanya lagi.
Dr Kamarudin berkata, dengan melaksanakan ibadah tersebut ia merupakan satu peluang keemasan untuk perokok tegar berhenti daripada terus melakukan tabiat tersebut yang boleh mendatangkan kemudaratan kepada bakal jemaah haji.
Jelasnya apa yang menjadi kekhuatiran sekiranya bakal jemaah haji meneruskan tabiat tersebut ia boleh mendatangkan risiko yang lebih tinggi untuk jangkitan paru-paru serta komplikasi masalah jantung dan strok atau angin ahmar.
Dalam pada itu Dr Kamarudin berkata, bakal jemaah haji juga perlu memastikan persediaan emosi dan mental juga perlu dititikberatkan memandangkan tempoh bagi mereka untuk mengerjarkan ibadah haji mengambil masa yang agak lama untuk berjauhan dengan keluarga tercinta.
“Seperti kita tahu tempoh untuk mengejarkan ibadah haji adalah selama 40 hari, ia merupakan satu tempoh yang agak lama dan perlu berjauhan dari keluarga yang mana tempoh itu membuatkan kita rindu akan keluarga di tanah air.
“Dan juga sekiranya suami dan isteri mengerjarkan haji, bilik mereka lain-lain tidak sama, yang mana mereka akan duduk sebilik dengan jemaah yang mereka baru kenal yang mempunyai perangai masing-masing yang menjadi satu cabaran juga,” kata Dr Kamarudin.
Dr Kamarudin yang sebelum ini pernah berkhidmat sebagai petugas haji pada tahun 2006, 2007 dan 2008 menyarankan agar bakal jemaah haji dapat memenuhi masa yang ada ini untuk melakukan aktiviti yang sihat dengan melakukan senaman yang mudah sesuai dengan kemampuan bakal jemaah haji.
“Ibadah haji ini merupakan ibadah perbuatan, ia memerlukan kekuatan fizikal.
“Di sana nanti kita perlu banyak berjalan, misalnya dari hotel ke Masjidil Haram atau Masjid Nabawi mungkin mengambil jarak perjalanan 500 meter hingga 700 meter, kalau lima kali sehari kita menunaikan solat di kedua-dua masjid tersbut perjalanan kita boleh mencecah lima kilometer sehari,” ujarnya lagi. -TVS