KUALA LUMPUR, 27 Mac: Hasil Kerajaan Persekutuan pada 2024 diunjur meningkat kepada RM312,159 bilion selepas mengambil kira langkah cukai Belanjawan 2024.
Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying berkata, ini akan disumbangkan oleh kutipan hasil cukai yang lebih tinggi dan pertumbuhan ekonomi yang lebih baik.
Jelas beliau, hasil cukai kekal sebagai penyumbang utama iaitu 79.5 peratus daripada jumlah hasil atau 12.57 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) manakala hasil bukan cukai mewakili 20.5 peratus.
“Kutipan hasil akan disokong oleh pertumbuhan ekonomi yang kukuh berserta langkah yang diambil untuk meningkatkan lagi mobilisasi hasil melalui peluasan asas cukai serta menambah baik pematuhan dan ketelusan cukai,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan Muhammad Ismi Mat Taib (Perikatan Nasional – Parit) yang meminta Menteri Kewangan menyatakan langkah-langkah yang telah diambil oleh kerajaan untuk mengkaji semula struktur percukaian semasa dengan mengambil kira keperluan perubahan ekonomi semasa.
Berkenaan perkara itu beliau memaklumkan, menerusi Belanjawan 2024, kerajaan telah mengumumkan peluasan skop cukai perkhidmatan untuk merangkumi perkhidmatan logistik, pembrokeran, penaja jaminan dan karaoke.
“Di samping itu, kadar cukai perkhidmatan juga dinaikkan dari 6 peratus kepada 8 peratus bagi semua perkhidmatan dan tidak termasuk perkhidmatan tertentu seperti makanan dan minuman, perkhidmatan telekomunikasi, perkhidmatan penyediaan ruang parkir kenderaan dan perkhidmatan logistik,” katanya. -TVS