KUCHING, 27 Mac: Komponen keterjaminan, kerahsiaan dan keselamatan (3K) perlu diwujudkan di dalam sistem Pangkalan Data Utama (PADU).
Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Perniagaan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Dr Aila Abdul Latif berkata, komponen itu penting demi menyakinkan pengguna mengenai sistem tersebut.
Katanya, pelbagai remedi yang boleh diambil kira ataupun diketengahkan sebagai satu langkah berjaga-jaga.
“Pelbagai kaedah boleh dicadangkan untuk mengurangkan risiko sekiranya berlaku permasalahan berbangkit daripada perkongsian pengisian maklumat ke atas platform seperti ini.
“Pihak berwajib misalnya seperti Kementerian Ekonomi harus mengadakan bon jaminan ataupun sekuriti kepada setiap individu yang mendaftar bagi keterjaminan, kerahsiaan dan keselamatan dari segi penyediaan borang yang dikeluarkan khas oleh Jabatan Peguam Negara dan kolaborasi ataupun kerjasama dengan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM).
“Ia dilihat dapat memberi situasi menang-menang di antara kerajaan atau pelaksana program dan sistem dengan rakyat sekiranya berlaku penyelewengan kepada komponen di bawah 3K yang teraku selama mana penggunaanya,” katanya ketika dihubungi TVS.
Mengulas lanjut, beliau berkata, selain daripada sistem itu dilengkapi dengan keperluan kebajikan, mungkin pihak yang berwajib juga boleh menyediakan ruangan kronologi bagi had pengeluaran dan sebagainya.
“Mungkin selepas ini, selain daripada sistem itu disepadukan atau disekalikan dengan keperluan kebajikan, mungkin ia boleh dilengkapi dengan keperluan untuk meletakkan aduan keselamatan kronologi dan had pengeluaran butiran dan bukti sokongan dan sebagainya bagi transaksi yang berkelainan daripada kebiasaan,” katanya.
Terdahulu, Dr Aila memberitahu pihak berwajib perlu menjelaskan dengan lebih terperinci mengenai keraguan yang diutarakan orang ramai berhubung sistem PADU.
Menurutnya, keraguan itu timbul apabila terdapat dakwaan mengatakan data peribadi yang dimuat naik dalam PADU mungkin bocor ke pihak tidak bertanggungjawab. – TVS