KUALA LUMPUR: Seramai 2,341 petugas kesihatan masih juga dijangkiti COVID-19 walaupun selepas menerima dos lengkap vaksin.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, jumlah itu adalah daripada keseluruhan 9,932 petugas kesihatan yang dijangkiti virus tersebut sejak penularan wabak itu bermula di Malaysia pada Februari tahun lalu.
Jelasnya, walaupun petugas kesihatan itu dijangkiti COVID-19 selepas vaksinasi, namun kesemua mereka tidak mengalami gejala yang teruk atau berada dalam Kategori 5.
“Daripada jumlah petugas kesihatan yang lengkap dos vaksin ini, seramai 778 petugas kesihatan berada dalam Kategori 1; 1,559 petugas Kategori 2; dua petugas Kategori 3, dan bagi Kategori 4 hanya dua petugas sahaja, manakala bagi Kategori Lima tiada rekod membabitkan petugas kesihatan.
“Ini adalah kebaikan vaksin, iaitu mereka yang dijangkiti tidak berada di dalam kategori berisiko atau Kategori 5. Ia ternyata mampu melindungi petugas kesihatan ini daripada berada pada tahap yang teruk,” katanya seperti dipetik menerusi laporan Berita Harian pada Sabtu.
Sehingga kini jumlah kes aktif membabitkan petugas kesihatan yang sedang menerima rawatan di pusat perubatan adalah seramai 678 individu, manakala seramai 1,812 individu pula sedang menjalani kuarantin.
Dr Adham menambah, sejak tiga bulan lalu pihak kementerian telah menambah jumlah petugas kesihatan bagi mengelak berlakunya kekurangan petugas di semua hospital.
Dr Adham juga meminta petugas kesihatan untuk kekal mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan sementara ketua jabatan pula perlu sentiasa memantau SOP yang digunakan oleh petugas kesihatan masing-masing bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini.