KUCHING, 26 Mac: Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas mahu pegawai dari pelbagai jabatan dan agensi di bawah Kementerian Pembangunan Infrastruktur dan Pelabuhan (MIPD) berkongsi dengannya segala masalah berkaitan pelaksanaan projek di lapangan.
Menurutnya, perkongsian semua masalah berkaitan projek adalah bertujuan untuk mencari penyelesaian agar pelaksanaannya tidak terjejas seterusnya rakyat dapat manfaat sewajarnya.
“Kongsikan masalah di atas meja untuk perbincangan dan penyelesaian,” katanya selepas ceramah integriti oleh Ustaz Syamsul Debat kepada pegawai dan kakitangan MIPD, diikuti majlis berbuka puasa di sini, malam tadi.
Uggah berkongsi pengalaman beliau sendiri ketika melakukan tinjauan ke atas projek jalan raya di Bahagian Samarahan, baru-baru ini.
Ketika tiba berhampiran tapak projek, beliau didekati pemimpin kampung dan pemilik tanah tempatan yang berkongsi tentang isu pampasan tanah mereka yang terlibat dalam pelaksanaan projek.
“Memang ada yang marah. Tetapi dalam taklimat awal yang diberikan, saya tidak diberitahu isu ini sama ada secara sengaja atau kesilapan.
“Tetapi saya harap ia adalah satu kesilapan. Saya sendiri, dua timbalan menteri dan setiausaha tetap, kami semua terbuka untuk menerima maklum balas anda (pegawai).
“Sama ada berita buruk atau baik, anda perlu beritahu kami,” ujarnya.
Dalam pada itu, Uggah mengingatkan warga kerja MIPD agar menerapkan integriti dalam amalan kerja seharian.
“Dalam industri pembangunan pelabuhan dan perkhidmatan awam, integriti adalah lebih daripada sekadar kejujuran.
“Integriti ialah komitmen untuk menyampaikan khidmat dengan cemerlang, keselamatan dan kebolehpercayaan.
“Apabila ia dikompromi, akibatnya boleh menjadi teruk, kegagalan struktur, kesan undang-undang dan reputasi yang tercemar,” katanya.