Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

Inovasi Beg Penghantaran GrabFood Terpakai

BySteward Dawi

KUCHING, 10 Julai  –  Beg penghantaran GrabFood merupakan alat yang wajib untuk setiap rakan penghantar. Setiap sembilan bulan, rakan penghantar akan mengembalikan beg yang lama dan mendapatkan bag yang baharu.

Grab Malaysia mengambil inisiatif untuk mengubah beg lama menjadi sesuatu yang baharu serta memberi kebaikan kepada masyarakat.

Pada Disember 2020, Grab telah melancarkan satu program kebaikan sosial yang inovatif untuk mengitar semula beg penghantaran rakan GrabFood bagi memanfaatkan kanak-kanak sekolah dan rakan pemandu di Malaysia.

Setiap bulan, kira-kira 100 beg penghantaran dikembalikan kepada Grab di bawah program pertukaran beg terpakai yang susah dan mahal untuk dikitar semula.

Seorang pereka fesyen tempatan Neng Kho Razali telah bekerjasama dengan Grab Malaysia untuk mengubah beg penghantaran lama GrabFood menjadi tiga barang iaitu beg galas, beg alat tulis dan beg duit, atau boleh digunakan untuk menyimpan pelitup muka.

Menurut Neng Kho, dia mula menjalankan projek ini sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama pada tahun lepas dan sehingga kini berjaya menghasilkan 174 barang daripada 54 set beg penghantaran terpakai GrabFood.

“Saya fikir beg ini adalah sesuatu yang biasa sahaja tetapi semasa PKP dilaksanakan, permintaan untuk penghantaran makanan sangat tinggi. Jadi, maksud di sebalik beg penghantaran ini bagi saya sangat peribadi. Ianya bukan sekadar beg tetapi juga memberi kegembiraan dan harapan. Rakan penghantar juga berkorban masa, tenaga dan mengambil risiko semasa menghantar makanan dari sebuah rumah ke rumah yang lain.” katanya ketika ditemui pemberita TVS pada Sabtu.

Kata Neng, barang seperti ini boleh diubah menjadi sesuatu yang mempunyai nilai lain seperti memberi kemudahan kepada golongan yang kurang bernasib baik.

“Sebelum ini beg ini berjasa kepada orang-orang di bandar. Kenapa tidak saya mengambil peluang ini untuk menghasilkan sesuatu yang memberi kebaikan kepada mereka yang memerlukannya? Apakah barang yang sangat diperlukan mereka sekarang ini? Ada sesetengah pelajar sekolah yang tidak mampu untuk membeli beg sekolah. Ada daripada mereka yang berkongsi atau bertukar beg apabila ke sekolah.

“Jadi dari situlah tercetusnya idea untuk menghasilkan beg sekolah bagi golongan yang kurang berkemampuan ini, dan projek bersama Grab Malaysia ini adalah kontrak selama setahun,” jelas Neng Kho.

Barang yang sudah lengkap dihasilkan akan dihantar balik ke Grab Malaysia dan barang itu akan diagihkan kepada rumah anak yatim, sekolah dan tempat-tempat yang memerlukan.

Antara cabaran yang dihadapinya semasa proses menghasilkan barang tersebut ialah ada di antara beg itu berada dalam keadaan yang tidak baik dan ada bekas kotoran yang sangat susah dicuci serta memerlukan masa yang lama untuk dibersihkan.

“Saya mengambil masa untuk merendam, mencuci dan membuang pelekat yang dilekatkan pemilik beg penghantaran sebelum ini. Ini agak mengambil masa dan tenaga untuk menyiapkannya.” tambah Neng Kho lagi.

Setakat ini semua barang yang dihasilkan itu tidak dijual di mana-mana platform perniagaan dan akan dihantar balik kepada pihak Grab Malaysia.

“Saya agak terkejut juga sebab ramai pelanggan saya, orang ramai dan orang luar yang saya tidak kenal berminat untuk membeli beg yang saya hasilkan ini. Mereka mahu membelinya untuk dijadikan cenderamata,” kata Neng Kho lagi.

Untuk rekod, sebelum ini Grab Malaysia telah mengagihkan barangan tersebut kepada Yayasan Anak Yatim, Rumah Yatim Tadika Iska Jaya, SK Long Pelutan dan rakan-rakan penghantar.

Tags: #bm

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan