KUCHING, 23 Mac: Bazar Ramadan Rahmah (BRR) dilaksanakan di 64 lokasi seluruh negara termasuk Bazar Ramadan Metrocity dibawah seliaan Dewan Bandar Raya Kuching Utara (DBKU) sepanjang Ramadan tahun ini.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh berkata, BRR merupakan inisiatif terbaru kerajaan dalam mengurangkan kos sara hidup rakyat dengan menyediakan pilihan hidangan berbuka puasa pada harga murah dan berpatutan.
Jelasnya, ini termasuk dengan menggalakkan peniaga menyediakan kepelbagaian konsep penyediaan makanan atau produk seimbang berteraskan menu rahmah kepada pengunjung yang datang ke bazar Ramadan.
“Antara ciri-ciri bazar ramadan rahmah ialah sekurang kurangnya 40 peratus daripada peniaga menawarkan menu rahmah. Menu rahmah ialah menu berjumlah RM5 ke bawah.
“Ini adalah satu inisiatif KPDN untuk mengurangkan beban kos sara hidup terutama kepada mana yang memerlukan supaya orang nak pergi belanja di bazar ramadan kita ada bazar ramadan rahmah dan menu rahmah, jadi mereka pun dapatlah berbelanja untuk berbuka puasa,” ujarnya.
Beliau berkata demikian selepas pelancaran Program MYSAVEFOOD sempena Bazar Ramadan Rahmah Wilayah Sarawak di Bazar Ramadan Metrocity pada Jumaat.
Tambah Fuziah, inisiatif Pendigitalan Sektor Peruncitan (Retail Digitalisation Inisiative ReDI) dengan pemberian Insentif e-tunai kepada pengguna, peniaga dalam bentuk e-wallet dengan kerjasama penyedia e-wallet.
“Kita juga menawarkan e-wallet bernilai RM20. Tadi, kita dah serahkan RM40,000 kepada Persatuan Penjaja jadi maksudnya ada 2,000 e-wallet keseluruhannya.
“Kita mengajak orang-orang Kuching datang berbelanja di sini dan ambil e-wallet kita tawarkan.
“Selain itu, kita juga ada rakan strategik SPay yang melaksanakan ‘onboarding’ e-wallet kepada peniaga dan juga untuk bantu kita untuk mengeluarkan ewallet ini kepada pengunjung,” ujarnya. -TVS