KUCHING, 22 Mac: Menjelang Aidilfitri yang bakal menjelma, hampir 40 penghuni termasuk empat kanak-kanak dan seorang bayi diuji apabila lapan kediaman mereka dijilat api dalam kejadian kebakaran di Kampung Haji Baki di sini, awal pagi tadi.
Menurut Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak, pihaknya menerima panggilan pada 5.22 pagi, sebelum mengerahkan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Lintang ke lokasi kejadian.
Operasi itu turut dibantu BBP Tabuan Jaya dan BBP Padungan.
“Empat buah rumah yang terlibat telah terbakar 100 peratus, manakala empat buah rumah lagi terbakar 30 peratus,” ujarnya.
Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa yang berlaku dan kebakaran berjaya dikawal pada jam 6.38 pagi.
“Kerja-kerja overhaul dijalankan untuk memastikan tiada lagi punca nyalaan dan operasi tamat sepenuhnya pada jam 9.22 pagi,” ujarnya.
Dalam pada itu, punca kebakaran dan kerugian masih dalam siasatan pihak Bomba. -TVS