PADAWAN, 21 MAC: Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) digesa agar memperluaskan tanah perkuburan lama Kristian di Kampung Senah Rayang Padawan susulan masalah kepadatan di sini.
Menurut Pengerusi Gereja St.James Chapel Kampung Senah Rayang, Rajak Temboh, tanah perkuburan tersebut hanya dapat menampung dua pengebumian sahaja ketika ini.
“Tanah perkuburan lama ini memang sudah tidak dapat menampung lagi, justeru kami meminta belas kasihan pihak UNIFOR untuk membantu kami memperluaskan tanah perkuburan tersebut.
“Sebab ketika ini ia hanya mampu menampung dua pengebumian sahaja ketika ini,”  katanya ketika ditemui tvs baru-baru ini.
Rajak menambah permohonan itu rentetan masyarakat di perkampungan tersebut semakin bertambah, termasuk orang luar yang berhijrah ke kampung tersebut.
“Ada dua buah keluarga sudah berdaftar di kampung ini,” ujarnya lagi sambil memberitahu masyarakat beragama Kristian yang mendiami kampung berkenaan adalah seramai 135 orang.
Justeru Rajak berharap, pihak UNIFOR Â dapat mempertimbangan permohonan demi memastikan kesejahteraan penduduk berbilang agama dan kaum di kampung tersebut.
“Dalam soal ini tanah perkuburan sangat penting sekali,” ulangnya lagi. -TVS