KUALA LUMPUR, 20 Mac: Projek pelaburan asing yang diluluskan di Malaysia akan dilaksanakan dalam tempoh 18 hingga 24 bulan.
Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Liew Chin Tong berkata, pelaburan yang telah diluluskan itu juga berkemungkinan mencapai 85 peratus untuk direalisasikan.
“Dalam sejarah kita, biasanya 85 peratus projek pelaburan yang telah diluluskan akan dilaksanakan dalam tempoh 18 hingga 24 bulan,” katanya di Sidang Dewan Negara, hari ini.
Beliau menjawab soalan Senator Rita Sarimah Patrick Insol yang meminta Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri menyatakan jumlah pelabur-pelabur asing yang telah memulakan operasi di Malaysia dan bila produk mereka boleh menyumbang kepada eskport negara.
Sementara itu, Chin Tong turut menyangkal persepsi eksport Malaysia pada 2023 yang dikatakan merosot dan menurutnya andaian itu tidak tepat.
“Antara faktor paling utama yang menyebabkan nilai eksport (negara) kurang adalah disebabkan penurunan harga kelapa sawit (CPO) dan harga petroleum,” katanya.
Pada 2023, prestasi perdagangan Malaysia melepasi aras RM2 trilion bagi tahun ketiga tahun berturut-turut yang berjumlah RM2.637 trilion, namun susut 7.3 peratus berbanding 2022.
“Ini susulan harga komoditi yang lebih rendah dan penurunan dalam kitaran semikonduktor dunia serta kesan asas tinggi yang direkodkan pada tahun lepas,” katanya. -TVS