PADAWAN, 20 Mac: Ibarat air dicincang tidak akan putus, itu yang dapat diumpamakan kepada nilai kesepaduan kaum yang ditonjolkan masyarakat Bidayuh berbilang agama di Puncak Borneo terutama di bulan Ramadan yang mulia ini.
Darah yang sama, pegangan hati nurani berbeza tidak menyekat sekelumit pun semangat kekeluargaan untuk meraikan kepelbagaian, mereka yang beragama Islam dan Kristian duduk berbuka puasa semeja di masjid.
Kemurnian hati yang memaknai maksud keharmonian dalam perpaduan itu hanya dapat dilihat di Sarawak dan ia telah dibuktikan penduduk Kampung Senah Rayang sejak 50 tahun yang lalu.
Berbeza dengan suasana berbuka puasa atau iftar di tempat-tempat lain di seluruh nagara, masyarakat Bidayuh Kampung Senah Rayang meraikan bulan mulia Ramadan dengan penuh semangat kedamaian dan kebahagiaan.
Walaupun Islam baharu bertapak di perkampungan tersebut lewat 70-an namun semangat perpaduan ditonjolkan begitu luar biasa hinggakan bermula pada tahun 1989, iftar bersama bukan lagi perkara asing.
Ketua Kampung Senah Rayang, Padawan, Johari Mohd Jeprydin berkata, tiada kata yang dapat diungkap bagi menerangkan nilai keikhlasan penduduk di kampungnya itu.
“Ini kerana penganut dua agama tersebut saling menggembleng tenaga bergotong-royong dalam menyediakan juadah berbuka puasa.
“Hati saya sangat gembira kerana melihat tidak kira Islam atau Kristian agama apa sekalipun kita tetap akan bersama-sama berbuka puasa di Masjid Al Falah Kampung Senah Rayang ini,” katanya ketika ditemui TVS pada Majlis Berbuka Puasa di sini, baru-baru ini.
Sementara itu, menurut Pengerusi Masjid Al Falah Kampung Senah Rayang, Razali Jamian, kejayaan pelaksanaan program itu adalah hasil daripada sumbangan dana daripada pelbagai pihak.
Razali Jamian yang juga Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) St James Rayang berkata, mereka terpaksa memikirkan pelbagai cara untuk mengumpul dana bagi menjayakan program ini.
“Alhamdulillah dalam tiga tahun terakhir ini kami telah mampu mengumpul dana, yang mana sebelum bulan Ramadan bermula lagi kami telah membuat surat-surat kepada pihak tertentu, pihak swasta , perseorangan dan sebagainya.
“Melihat kepada semangat luar biasa itu pastinya orang luar tidak dapat membezakan Islam dan Kristian,” katanya.
Menurut Pengerusi Gereja St.James Chapel Kampung Senah Rayang, Rajak Temboh, keharmonian yang telah sekian lama terjalin itu menjadi batu asas dalam mengukuhkan lagi semangat kebersamaan antara mereka.
“Pergaulan dalam kampung ini memang mengamalkan prinsip satu Malaysia, sehinggakan kalau ada orang luar datang ke kampung ini mereka tidak dapat membezakan di antara kami.
“Kadang-kadang ada orang beri salam kepada saya, selepas itu saya beritahu mereka bahawa saya adalah pengerusi gereja,” kata Rajak Temboh.
Jelas Rajak lagi, semangat kekitaan yang diterapkan oleh masyarakat dikampung tersebut begitu ampuh.
“Mereka tidak lagi melihat agama sebaliknya melihat kepada nilai kemanusiaan. Anak saya sudah empat orang masuk Islam dan dua orang lagi termasuk saya masih beragama Kristian.
“Hubungan kami seperti biasa, tidak ada yang berubah walaupun sudah berbeza fahaman agama…kami tetap menghormati satu sama lain,” ujarnya lagi.
Untuk rekod perkampungaan Bidayuh Padawan itu pada asalnya merupakan sebuah perkampungan Bidayuh Kristian dan Islam mula bertapak di perkampungan tersebut ketika era pemerintahan Mantan Ketua Menteri Sarawak, Allahyarham Tun Abdul Rahman Yakub.
Perkampungan di sekitar lembah pergunungan tersebut sebelum itu turut didiami penduduk pagan atau tidak beragama. -TVS