Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

Polis kesan sindiket Along tawar pinjaman menerusi aplikasi telefon bimbit

KUALA LUMPUR, 9 Julai — Polis mengesan taktik baharu sindiket along yang menyediakan aplikasi di telefon bimbit untuk membuat pinjaman wang selain menyalahgunakan data peribadi mangsa.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata pihaknya menerima tiga laporan daripada mangsa yang membuat pinjaman melalui aplikasi berkenaan dan menerima pelbagai ugutan termasuk menggunakan gambar serta data peribadi mereka selepas gagal melunaskan bayaran.

Beliau berkata peminjam yang menggunakan aplikasi itu tidak sedar bahawa mereka telah memberi kebenaran kepada sindiket untuk mengakses maklumat yang ada di dalam telefon bimbit seperti gambar dan nombor telefon individu lain.

“Sindiket ini akan menghubungi keluarga atau rakan-rakan untuk membuat ugutan sekiranya peminjam gagal membuat bayaran.

“Kebanyakan pengguna (peminjam) tidak akan membaca syarat yang dinyatakan (ketika membuat pinjaman) dan hanya memberi persetujuan bagi membolehkan mereka menggunakan aplikasi tersebut,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Mohd Kamarudin berkata bagi membanteras kegiatan sindiket along di seluruh negara, pihaknya melancarkan operasi khas iaitu Ops Vulture pada 2 Julai lepas dan kemudian berjaya melumpuhkan 14 sindiket along dalam serbuan di Pulau Pinang, Kuala Lumpur, Kelantan, Sabah serta Sarawak.

Beliau berkata dalam serbuan pada Selasa dan Rabu lepas, pihaknya menahan 84 individu berusia 20 hingga 59 tahun disyaki ahli sindiket along.

“Siasatan mendapati semua sindiket ini beroperasi sejak 2018 dengan mengiklankan tawaran pinjaman di aplikasi media sosial seperti Facebook, WhatsApp dan WeChat yang menyasarkan golongan peniaga, kakitangan awam dan swasta serta kadar faedah pinjaman diberikan adalah 10 hingga 15 peratus bagi tempoh seminggu.

“Sindiket ini juga akan berpakat untuk menghubungi peminjam yang gagal melunaskan bayaran dan menawarkan pinjaman baharu bagi menyelesaikan pinjaman terdahulu supaya sindiket boleh meneruskan kontrak dengan peminjam dan memaksa membuat bayaran berlipat kali ganda menerusi faedah yang dikenakan secara berterusan,” katanya.

Menurutnya semakan mendapati beberapa individu yang ditahan mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan kes jenayah dan dadah.

Katanya dalam tempoh Januari hingga Jun tahun ini, pihaknya menerima 508 aduan daripada mangsa penganiayaan sindiket pinjaman wang tidak berlesen atau along yang melibatkan jumlah pinjaman bernilai RM2.5 juta dengan 508 orang ditahan kerana terbabit dengan sindiket tersebut. 

— BERNAMA

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan