GEORGE TOWN, 20 Mac: Sebanyak 1,263 unit alat ganti dan aksesori jenama Hyundai dengan anggaran nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM20,087.50 disita di seluruh negeri ini, pada Selasa.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang, S. Jegan berkata, serbuan itu membabitkan empat buah premis yang disasarkan selepas pihaknya menerima aduan daripada wakil pemilik cap dangang.
“Kita berjaya menemukan barangan yang disyaki tiruan seperti alat ganti dan aksesori kenderaan bermotor yang didagangkan secara borong dan runcit,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, kes disiasat di bawah Akta Cap Dagangan 2019 sementara jika disabitkan kesalahan, boleh didenda sehingga RM10,000 bagi setiap barang yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama, manakala bagi syarikat, boleh didenda tidak melebihi RM15,000 bagi setiap barang. – TVS