KUCHING, 19 Mac: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menghadiri Majlis Berbuka Puasa bersama Pemimpin dan Masyarakat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak hari ini.
Majlis yang diadakan setiap tahun itu bukan sahaja dihadiri umat Islam tetapi turut dihadiri pemimpin bukan beragama Islam, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian dan Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
Selain daripada ahli-ahli parti Gabungan Parti Sarawak (GPS) turut hadir ialah ahli parti politik komponen seperti Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Demokratik Progresif (PDP) dan lain-lain.
Abang Johari tiba di DUN Sarawak pada jam 6.35 petang disambut Yang di-Pertua Dewan Negara, Senator Datuk Mutang Tagal dan Speaker DUN Sarawak, Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar.
Sebaik sahaja berkumandang azan Maghrib, jemputan dihidangkan dengan sajian bubur pedas dan jeli kelapa dan kemudian Abang Johari bersama dengan jemputan beragama Islam menunaikan solat Maghrib yang diimamkan oleh Imam Besar Negeri Sarawak, Dato Ustaz Mustapha Kamal Ahmad Fauzi.
Usai menunaikan solat, beliau kembali menjamu selera bersama orang ramai.
Pada kemuncak majlis, Premier Sarawak bersama umat Islam kembali menunaikan solat Isya dan diteruskan dengan solat Tarawih berjemaah, sajian moreh juga disediakan selepas jemaah menunaikan solat Tarawih. – TVS