KUALA LUMPUR, 19 Mac: Peruntukan sebanyak RM460.2 juta telah diluluskan oleh kerajaan bagi melaksanakan Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) pada tahun ini.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Datuk Rubiah Wang berkata, PPRT merupakan salah satu program pembasmian kemiskinan luar bandar yang menyediakan bantuan bina baharu atau pembaikan rumah golongan miskin dan miskin tegar untuk memiliki kediaman yang selamat dan selesa.
“Peruntukan ini melibatkan pembinaan baharu 15,600 unit rumah dan dijangka memanfaatkan 75,000 isi rumah,” katanya pada Sidang Dewan Negara hari ini.
Rubiah menjawab pertanyaan Senator Seruandi Saad yang ingin tahu inisiatif dan bantuan disediakan oleh kerajaan untuk meningkatkan taraf hidup penduduk luar bandar.
Sementara itu beliau menjelaskan, Program Peningkatan Pendapatan (PPP) pula menyediakan bantuan peralatan dan latihan menyasarkan golongan miskin dan miskin tegar yang memberi bantuan secara ‘one-off’ RM10,000 dalam bentuk peralatan dan latihan.
“Bagi tahun ini, sebanyak RM17 juta telah diperuntukan yang memanfaatkan 1,600 orang peserta.
“Ketiga, Program Latihan Kemahiran dan Kerjaya (PLKK) yang mensasarkan golongan belia berumur 15 sehingga 40 tahun dan menyediakan peluang untuk dan kerjaya serta peningkatan pendapatan bagi kumpulan miskin tegar, miskin dan golong B40 luar bandar,” jelasnya.
Pada masa sama, Rubiah menjelaskan KKDW memperuntukkan sebanyak RM17 juta bagi melaksanakan PLKK.
Jelas beliau, KKDW melalui Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) menyediakan kursus kemahiran bagi membolehkan peserta komuniti berpendapatan rendah (B40) menambah pendapatan mereka.
“Bagi tahun ini juga, sebanyak RM4.2 juta telah diperuntukkan untuk menjayakan kursus ini akan memberi manfaat kepada 940 peserta.
“KKDW akan terus berusaha dalam meningkatkan kesejahteraan masyarakat di luar bandar,” tambahnya. -TVS