SIBU, 17 Mac : Usaha naik taraf kemudahan infrastruktur di Makam Pahlawan Rentap Bukit Sibau, wajar dilaksanakan kerajaan berikutan potensi besar kawasan itu sebagai ikon pelancongan daerah Pakan.
Pengerusi Pengelola Ekspedisi Lumbung Rentap, Edwin Bandang berkata, antara yang perlu diberi perhatian termasuklah jalan raya selain beberapa prasarana lain sebagai pelengkap untuk menjadikan lokasi terbabit sebagai tarikan pengunjung.
Menurutnya, lokasi yang terletak kira-kira sejam perjalanan dari Pakan itu merupakan tapak bersejarah bagi memperingati jasa dan keberanian pahlawan Rentap menentang penjajah.
“Usaha naik taraf jalan raya memudahkan pengunjung untuk datang ke sini sekali gus melonjak potensinya sebagai kawasan pelancongan.
“Inisiatif ini bukan sahaja menjadikan Makam Pahlawan Rentap sebagai ikon pelancongan tetapi juga berupaya menyediakan peluang ekonomi baharu kepada komuniti setempat,” katanya ditemui pada Program Ekspedisi Lumbung Rentap anjuran Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (Saberkas) Pakan pada Sabtu.
Pada masa yang sama, Edwin juga berharap rumah panjang tradisi Rachak Padang di Nyalak Ladong dinaiktaraf sebagai inap desa berikutan keunikannya yang tersendiri.
“Rumah panjang yang mempunyai struktur kayu belian ini, dibina secara tradisional tanpa menggunakan paku ketika awal pembinaannya dahulu,” jelasnya.
Program disertai seramai 327 peserta itu diserikan dengan upacara miring di atas bukit dan kemudiannya disusuli dengan gotong-royong membersih sekitar kawasan berkenaan. – TVS