KUALA LUMPUR, 13 Mac: Penulisan sejarah dalam buku teks di sekolah sentiasa berpaksikan kebenaran, kesahihan dan ketepatan, jelas Kementerian Pendidikan (KPM).
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, ini penting bagi memastikan sejarah semua kaum diterjemahkan dengan input yang betul serta difahami oleh murid dan pelajar sekolah.
“KPM dan bahagian-bahagian tertentu di kementerian telah melaksanakan pelbagai sesi libat urus dan menjemput pelbagai pakar sejarah bagi memastikan input yang diberikan benar-benar menterjemahkan sejarah yang mewakili setiap peranan dan sejarah kaum di negara ini,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau memberi respon terhadap cadangan oleh Datuk Willie Mongin (Gabungan Parti Sarawak – Puncak Borneo) yang mahu silibus buku teks sejarah Tingkatan Satu hingga Tingkatan Lima memberi pendedahan mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), perjuangan Dayak Tracker, parajurit dari Sabah dan Sarawak yang turut mempertahankan negara ini.
Terdahulu, Fadhlina menerangkan KPM turut memastikan sistem pendidikan Malaysia selari dengan falsafah pendidikan kebangsaan, Agenda Pendidikan Global, Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 4 iaitu Pendidikan Berkualiti dan Konsep Malaysia Madani khususnya nilai kemampanan, kesejahteraan dan daya cipta.
“Antara fokus transformasi pendidikan ialah memastikan setiap kanak-kanak warganegara Malaysia yang berumur persekolahan memperoleh akses pendidikan yang berkualiti, tanpa mengira siapa atau di mana mereka berada,” jelasnya.
Sementara itu, beliau memaklumkan, kantin sekolah dibenarkan untuk kekal beroperasi sepanjang Ramadan bagi membolehkan pelajar bukan Islam menikmati makanan mereka dengan selesa.
Jelas Fadhlina, beliau tidak mahu pelajar serta murid bukan Islam makan di dalam stor kerana semua sekolah mempunyai kantin.
“Kita sarankan kantin dibuka sepanjang Ramadan khususnya bagi sekolah yang mempunyai anak-anak bukan Islam,” katanya. -TVS