KUCHING: Gabungan Parti Sarawak (GPS) menyifatkan pelantikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein sebagai Menteri Kanan Luar Negeri, yang turut mengetuai Kluster Keselamatan adalah tepat mengambil kira pengalaman luas kedua-dua pemimpin yang terkenal dengan ketokohan dalam pentadbiran kerajaan.
Setiausaha Agung GPS Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, GPS mengucapkan tahniah atas pelantikan berkenaan.
“Ia juga diharap dapat mengembalikan semula tumpuan semua pihak kepada isu lebih utama iaitu kebajikan, kesejahteraan dan keselamatan rakyat selain pemulihan ekonomi negara ketika kita semua sedang bergelut dengan pandemik COVID-19.
“Sebagai pemimpin, kita semua perlu sedar rakyat memerhatikan segala apa yang sedang berlaku dan paling penting ramai yang tidak bersetuju dengan permainan politik yang boleh menggugat kestabilan negara ketika ini.
“Justeru, saya berpendapat pelantikan kedua-dua pemimpin yang terkenal dengan ketokohan dan keupayaan masing-masing ini amat bersesuaian dengan tanggungjawab besar yang diletakkan pada bahu mereka,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Beliau sendiri pernah bekerja bersama Ismail Sabri sebagai Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) dan mengagumi kepimpinan beliau.
Tambahnya lagi, Hishammuddin turut mempunyai reputasi yang baik serta berupaya mengurus beberapa krisis.
“Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein juga mempunyai reputasi baik malah keupayaannya menguruskan krisis ketika negara berhadapan dengan isu penerbangan MH370 sehingga kini masih diperkatakan banyak pihak termasuk pemimpin luar negara,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut meminta Hishammuddin untuk memberi perhatian kepada isu keselamatan di Sarawak.
“Ini termasuklah membabitkan insiden pencerobohan sempadan oleh 16 pesawat China yang memasuki ruang udara Malaysia berhampiran Sarawak hujung Mei lalu, selain kapal pengawal pantai China berada berdekatan Beting Patinggi Ali, Sarawak, awal Jun ini,” ujarnya.



