KUALA LUMPUR, 13 Mac: Ibu bapa disaran mengambil serius peranan dalam keibubapaan digital supaya anak-anak mereka mendapat manfaat positif ketika melayari internet, kata Fahmi Fadzil.
Menurut Menteri Komunikasi itu, mereka juga boleh meneroka kandungan serta platform alternatif yang ditawarkan dalam talian.
Jelasnya, kementerian melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah bekerjasama dengan lima penyedia perkhidmatan iaitu CelcomDigi, Maxis, U Mobile, Telekom Malaysia dan Time untuk menyediakan perisian yang dikenali sebagai parental control tool.
“Peralatan ini membolehkan mereka memantau, menapis, menghadkan dan menyekat kandungan aktiviti anak-anak dalam talian.
“Ibu bapa juga boleh menggunakan perkhidmatan perisian lain bagi tujuan yang sama,” katanya di Dewan Rakyat ketika Pertanyaan – Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan Kamal Ashaari (Perikatan Nasional – Kuala Krau) yang meminta Menteri Komunikasi menyatakan metode pelaksanaan kementerian agar anak-anak berusia bawah 15 tahun diharamkan memiliki media sosial agar mereka tidak mengikuti trend yang tidak baik.
Sementara itu Fahmi menjelaskan, kebanyakan penyedia platform media sosial mempunyai had umur pengguna iaitu hanya yang berumur 13 tahun dan ke atas sahaja dibenarkan membuka akaun X, Facebook, Instagram, WhatsApp dan Tiktok manakala 16 tahun untuk Telegram.
“Bagi menangani risiko dan ancaman terhadap kanak-kanak sama ada disebabkan oleh orang lain atau tingkah laku mereka sendiri, perlaksanaan program-program berbentuk pendidikan dan kesedaran tentang keselamatan internet terus dipertingkat melalui inisiatif sepert klik dengan bijak dan sukarelawan ICT Malaysia di peringkat sekolah dan Pusat Sebaran Maklumat Nasional atau NADI di seluruh negara,” tambahnya. -TVS