KUALA LUMPUR, 11 Mac: Unit tempatan, Ringgit mengukuh kepada kadar tukaran 4.68 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) sejak minggu lepas, Dewan Rakyat dimaklumkan hari ini.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, ini kerana terdapat ramalan yang AS akan mengurangkan faedah pada masa depan sekali gus mengurangkan tekanan kepada Ringgit.
Kata beliau, pergerakan Ringgit dipengaruhi oleh pelbagai faktor dengan sebahagian besar disebabkan oleh pengukuhkan dolar AS serta ketidaktentuan pertumbuhan ekonomi China.
“Faktor ini beri kesan kepada mata wang serantau yang lain sejak Mac 2022 (kerana) Bank Pusat AS naik kadar dasar utama dengan agresif kepada 500 mata asas iaitu antara 5.25 hingga 5.5 peratus dalam tempoh 16 bulan sahaja.
“Selain itu Filipina, Indonesia, Korea Selatan dan India juga memilih untuk menaikkan mata asas kepada antara 200 hingga 400 (iaitu) paras yang lebih tinggi berbanding negara kita (yang) hanya naikkan 125 mata asas daripada 1.75 kepada tiga peratus.
“Bank Negara Malaysia (BNM) pada 7 Mac lepas masih kekalkan kadar dasar semalaman (OPR) tiga peratus untuk kali kelima berturut -turut,” katanya.
Beliau berkata ketika Penggulungan Menteri pada Sidang Parlimen hari ini.
Sementara itu, Amir Hamzah menjelaskan peningkatan OPR yang lebih rendah berbanding negara lain merupakan antara sebab utama Ringgit menurun.
Kata beliau, perbezaan ketara dalam kaedar faedah di AS iaitu sebanyak 250 mata asas telah mendorong pelabur asing untuk alih modal dari pasaran domestik ke pasaran yang memberikan pulangan lebih tinggi.
“Matlamat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) menetapkan kadar dasar yang lebih rendah untuk stabilkan harga dan pastikan pertumbuhan ekonomi yang mampan (dan) bukan untuk kawal pertukaran Ringgit.
“Sekiranya OPR dinaikkan untuk kukuhkan Ringgit, ekonomi negara akan terkesan, peminjam perlu bayar faedah yang lebih tinggi,” katanya.
Sementara itu beliau memaklumkan, kerajaan juga mengambil langkah serta komited bahawa prestasi Ringgit harus berada tahap yang kukuh.
Katanya, ini termasuklah memastikan pasaran tukaran asing dalam negara kekal teratur.
“Ini penting untuk syarikat – syarikat yang melabur dalam negara.BNM juga memantau pasaran kewangan dan ambil langkah perlu termasuk campur tangan dalam pasaran tukaran asing untuk bendung pergerakan mata wang yang berlebihan,” katanya.
Amir Hamzah menjelaskan, BNM turut memantau penukaran hasil eksport kepada Ringgit oleh syarikat pengeksprot selain menggalakkan pengunaan mata wang tempatan bagi mengurangkan kebergantungan kepada dolar AS.
“Ini termasuk galakan kepada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan kerajaan (GLIC) bawa pulang pendapatan asing dan tukar kepada Ringgit dengan lebih konsisten,” tambahnya. -TVS