Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Alga antara sumber tenaga baharu yang diteroka Sarawak pada masa kini. Gambar fail menunjukkan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengadakan lawatan ke tapak semaian alga. Foto TVS

Prasarana lengkap, Sarawak diyakini hab tenaga boleh diperbaharui ASEAN

ByHafeezzur Muzamir

KUCHING, 11 Mac: Pembangunan prasarana sektor tenaga hijau secara besar-besaran oleh Sarawak dipercayai menjadi faktor utama mendorong keyakinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap kemampuan negeri ini dalam menjadi hab tenaga boleh diperbaharui di rantau Asia Tenggara.

Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Perniagaan, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Dr Dzul Hadzwan Husaini berkata, faktor lain yang turut mempengaruhi keyakinan itu ialah komitmen berterusan Kerajaan Sarawak yang terus melakukan pelaburan dalam sektor itu dengan Sarawak kini menjadi contoh kepada negeri-negeri lain.

Pensyarah Fakulti Ekonomi dan Perniagaan UNIMAS, Dr Dzul Hadzwan Husaini.

“Hala tuju serta perkembangan yang jelas ini telah membuka mata Perdana Menteri serta keyakinan beliau untuk mempromosikan Sarawak sebagai lubuk pelaburan produk ekonomi hijau.

“Hal ini kerana, kita (Sarawak) telah membuktikan keupayaan dan ini bukan cakap-cakap kosong,” katanya ketika dihubungi TVS, hari ini.

Dzul Hadzwan mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai potensi Sarawak dalam menjadi hab tenaga boleh diperbaharui utama di Asia Tenggara susulan negeri ini telah bertapak dalam ekonomi hijau negara.

Anwar berkata, Sarawak mendahului sektor ekonomi hijau dalam kalangan negara ASEAN dengan negeri ini kini dalam proses membekalkan tenaga hijau ke Singapura dan semenanjung Malaysia melalui kabel dasar laut.

Sementara itu, mengulas mengenai kenyataan Anwar yang menyatakan Sarawak akan tersenarai dalam penganjuran beberapa acara pada Sidang Kemuncak ASEAN 2025, Dzul Hadzwan berkata ia akan memberi peluang kepada negeri ini dalam menarik kehadiran pelabur dari luar negara untuk melakukan pelaburan dalam sektor tenaga hijau.

“Persidangan itu akan menjadi platform untuk negara luar melihat potensi kita (Sarawak) dalam membangunkan ekonomi hijau dan ‘power house’ bukan sahaja untuk negara serantau tetapi untuk dunia di masa hadapan.

“Ini sekali gus akan menambah keyakinan pelabur untuk melakukan pelaburan dalam industri tenaga boleh diperbaharui di Sarawak,” katanya.

Terdahulu, Anwar pada Invest Forum Asean yang diadakan semasa sidang Kemuncak Khas Asean di Melbourne, Australia pada Khamis mendedahkan Malaysia akan menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak Asean 2025 dengan beliau menyifatkan ia sebagai platform terbaik untuk Australia dan negara ASEAN lain untuk melawat Sarawak serta melabur di Malaysia. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan