KUCHING, 10 Mac: Program Samarindok Persembahan Kebudayaan Melayu Sarawak 2024, Gendang Melayu Sarawak mampu menjadi platform untuk golongan belia melatih seterusnya memahami nilai estetika nuansa seni budaya Melayu Sarawak.
Ahli Lembaga Pemegang Amanah, Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak, Datuk Abdul Wahap Aziz berkata, penganjuran program seumpama itu selari dengan peranan serta misi pertubuhan tersebut untuk memperkukuhkan dan melestarikan perjuangan pembela Bangsa Melayu Sarawak.
Katanya, usaha tersebut juga membantu memberikan pendedahan secara langsung kepada orang ramai khususnya generasi mudah untuk lebih memahami nuansa seni bangsa terbabit.
“Ini penting agar generasi muda memahami apakah itu budaya Melayu Sarawak ini dan sebab itulah kita perlukan sokongan semua agar nilai budaya ini tidak terus pupus.
“Menerusi usaha ini, sekurang-kurangnya nilai budaya itu tidak akan hilang dan kita memerlukan bantuan serta sokongan genarasi terdahulu untuk mengajar generasi muda memahami nilai budaya ini agar ia terus berkembang dalam diri generasi muda ini,” katanya.
Beliau berkata demikian berucap pada Majlis Program Samarindok Persembahan Kebudayaan Melayu Sarawak 2024, siri 1 Gendang Melayu Sarawak di Godown Amphitheatre di sini, malam tadi.
Program tersebut yang mula dilaksana pada 2014 diadakan secara berkala iaitu setiap tiga bulan sekali di Tebingan Kuching sebagai usaha untuk terus melestarikan seni dan budaya Melayu Sarawak menerusi persembahan pentas.
Program kali ini turut menarik lima penyertaan antaranya Artis Badan Seni Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak, Kumpulan Waris Anak Seni, Kumpulan Cahaya Bulan Mengambang, Artis Warisan Seni Melayu Kuching dan Kumpulan Sri Buana Kuching. -TVS