JAKARTA, 8 Mac: Sebuah pesawat kargo milik syarikat penerbangan, Smart Air dilaporkan terputus hubungan sejak 8.25 pagi tadi waktu tempatan di wilayah Tarakan, Kalimantan Utara.
Difahamkan, pesawat itu berlepas dari lapangan terbang Juwata Tarakan dengan destinasi penerbangan ke Binuang, Nunukan namun sehingga kini pesawat itu masih belum tiba.
Menurut Ketua Pejabat Mencari dan Menyelamat (SAR) Tarakan Syahril, selepas pihaknya menerima laporan, sepasukan pencari segera dikerahkan dengan tiga buah helikopter.
“Selepas menerima laporan, kami mengesahkan pesawat itu hilang, kami segera menyelaras dan mengerahkan pasukan serta helikopter untuk mencari,” katanya.
Sharil menyebut pihaknya mengerahkan 10 pasukan mencari serta tiga helikopter, sementara tentera dan polis turut dilibatkan dalam operasi itu.
Bagaimanapun, pihaknya terus mengumpul maklumat mengenai kehilangan pesawat itu semasa operasi mencari dijalankan. -TVS