KUALA LUMPUR, 7 Mac: Op Pantau akan dilaksanakan bermula pada 12 Mac ini di setiap bazar Ramadan bagi memastikan peniaga tidak menaikkan harga secara tidak munasabah, Dewan Rakyat dimaklumkan hari ini.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Fuziah Salleh berkata, seramai 2,300 anggota penguatkuasa akan terlibat dengan operasi berkenaan.
“Kita berharap agar peniaga tidak mengambil kesempatan untuk menaikkan harga secara tidak munasabah,” katanya.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Mohd. Isam Mohd Isa (Barisan Nasional – Tampin) yang ingin mengetahui sama ada berlaku pemantauan serta tindakan tegas KPDN terhadap peniaga yang menaikkan harga.
Sementara itu, Fuziah memberitahu, KPDNÂ menyasarkan 40 peratus peniaga di 60 bazar Ramadan Rahmah dapat menawarkan menu Rahmah.
“Kerajaaan akan memberi insentif sebanyak RM50 kepada peniaga yang menawarkan menu Rahmah dan insentif e-Wallet RM20 kepada pengunjung untuk membeli dengan harga yang murah,” katanya.
Tambah Fuziah, di setiap lokasi bazar Ramadan, sebanyak 2,000 e-Wallet akan disediakan untuk membantu pengunjung. – TVS.