KUCHING, 5 Mac: Sarawak berhasrat melahirkan pelapis sukan golf, kata Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Gerald Rentap Jabu.
Sehubungan itu, menurutnya Kejohanan Golf Remaja Antara Negeri Sarawak 2024 merupakan platform terbaik bagi inisiatif berkenaan.
Selain mencari bakat baharu, katanya ia juga memberi pendedahan awal kepada para pemain sebagai persiapan menghadapi Sukan Malaysia (SUKMA) Ke-21 pada Ogos depan di negeri ini.
“Satu pertadingan yang begitu penting untuk merealisasikan impian supaya kita mempunyai pelapis negara dalam sukan golf, sudah lama tidak menganjurkan program ini
“Kita mengharapkan atlet-atlet yang mengambil bahagian ini akan berada di Kuching pada Ogos kelak dalam SUKMA Ke-21 Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mewakili Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg merasmikan Kejohanan Golf Junior Antara Negeri Sarawak 2024 di Kelab Golf Sarawak di Kuching pada Isnin.
Dalam pada itu, Gerald menyeru agar pertubuhan sukan di negeri ini menganjurkan kejohanan bertaraf antarabangsa sekali gus menjadikan negeri ini sebagai destinasi pilihan pelancongan sukan.
Dengan fasiliti sukan yang menepati piawaian antarabangsa, beliau optimis Sarawak mampu menjadi tuan rumah dalam penganjuran kejohanan berprestij.
Mengambil kira penganjuran Kejohanan Golf Remaja Antara Negeri Sarawak 2024, jelasnya pertandingan serupa boleh dianjur dengan skala besar di peringkat global.
“Selaku wakil Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan (MYSED), ingin menggalakkan supaya bukan sahaja Persatuan Golf Amatur Bumiputera Sarawak (PGABS), Persatuan Golf Sarawak dan Kelab Golf Sarawak (KGS) boleh menjadi tuan untuk pertandingan berprestasi tinggi di Sarawak yang menjadi sebahagian daripada pelancongan sukan yang akan memberi impak lebih bermakna kepada negeri ini,” ujarnya.
Kejohanan anjuran Persatuan Golf Amatur Bumiputera Sarawak (PGABS) dengan kerjasama Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS) itu berlangsung dari 4 hingga 7 Mac ini.
Ia melibatkan penyertaan lebih 80 pemain dari Perlis, Perak, Sabah, Kedah, Pahang, Melaka, Wilayah Persekutuan, PGABS serta wakil negara jiran Brunei Darussalam. -TVS