SIBU, 29 Feb: Seorang kerani wanita kerugian lebih RM23,000 selepas terpedaya dengan sindiket pinjaman wang tidak wujud menerusi aplikasi WhatsApp.
Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Zulkipli Suhaili berkata mangsa berusia 30 tahun itu telah menerima pesanan ringkas daripada seorang individu yang memperkenalkan diri sebagai ejen pinjaman bank pada 20 Februari lalu.
Menurut Zulkipli, mangsa yang berminat dengan tawaran itu telah bersetuju untuk membuat pinjaman sebanyak RM20,000 dengan bayaran bulanan RM600 selama lima tahun.
“Mangsa telah diarah menyerahkan dokumen pengenalan diri bagi tujuan pendaftaran permohonan pinjaman dan diberitahu untuk membuat pembayaran dengan alasan untuk urusan pemprosesan dokumen pinjaman.
“Tanpa mengesyaki apa-apa, wanita itu terus membuat pindahan wang sebanyak tiga kali ke dua akaun tempatan keseluruhannya berjumlah RM23,734, pada 21 hingga 22 Feb lalu,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, mangsa mula curiga apabila wang pinjaman masih belum dikreditkan ke dalam akaunnya setelah kesemua transaksi pindahan dilakukan.
“Mangsa kemudian menyedari dirinya telah ditipu kemudian datang ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu di sini semalam untuk membuat laporan polis,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. – TVS