KUALA LUMPUR, 29 Feb: Kementerian Kesihatan (KKM) kini dalam usaha untuk menambah baik Skim Perubatan Madani (SPM) berikutan kembali memfokuskan kepada 10 daerah terpilih berkuatkuasa 26 Februari lepas.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, pihaknya juga menumpukan usaha meningkatkan keupayaan pembiayaan SPM yang menelan belanja besar.
“Bagi peruntukan 2024, perbelanjaan adalah RM1 juta seminggu dan kalau kita ambil pembiayaan (melibatkan) sakit ringan sahaja, ia memakan RM1.7 juta seminggu.
“Kalau kita hendak laksana di seluruh negara, seminggu akan menelan belanja RM12 hingga RM15 juta (dan) kalau laksanakan di seluruh negara, ia akan memakan RM227 juta setahun,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Dr. Alias Razak (Perikatan Nasional -Kuala Nerus) yang meminta penjelasan berikutan pengurangan SPM ke 10 daerah terpilih sahaja sedangkan KKM menerima peruntukan RM100 juta menerusi Belanjawan 2024.
Tambah Dzulkefly, setakat 29 Februari 2024, KKM telah membelanjakan RM78.73 juta daripada RM100 juta peruntukan tersebut dan hanya berbaki RM16.2 juta untuk sepanjang tahun 2024.
“Dengan anggaran RM1.7 juta, peruntukan bakal habis pada April 2024.
“Jadi persoalan cabaran untuk memastikan kemampanan dasar-dasar adalah penting. Saya mahu menekankan betapa mustahaknya untuk menilai kemampan fiskal atau keupayaan kewangan,” katanya.-TVS