KUALA LUMPUR, 28 Feb: Projek pembinaan Klinik Kesihatan (KK) Lubok Antu kini berada pada proses tender.
Ahli Parlimennya, Roy Angau Gingkoi berkata, beliau dimaklumkan perkara itu semasa lawatan kerja Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni baru – baru ini.
Kata Roy Angau, beliau secara peribadi menyambut baik usaha berkenaan memandangkan projek yang bernilai RM28.9 juta itu sudah terbengkalai sejak empat tahun lepas.
“Kelewatan projek itu disebabkan oleh pihak kontraktor gagal menyiapkan pembinaan mengikut spefikasi dan tempoh masa yang ditetapkan,” katanya kepada TVS di Parlimen hari ini.
Sementara itu Roy Angau memaklumkan masih banyak projek kesejahteraan rakyat yang perlu dilaksanakan di kawasannya.
“Antaranya balai bomba dan penyelamat (BBP) mini yang sangat diperlukan bagi mempercepat kerja memadam kebakaran di kawasan pedalaman serta rumah panjang,” katanya.
Pada masa sama katanya, Lubok Antu turut berdepan masalah klinik kesihatan dan sekolah daif yang memerlukan perhatian segera oleh kerajaan.-TVS