KUCHING, 26 Feb: Sarawak diakui memiliki potensi besar dalam pasaran kredit karbon.
Pembantu Naib Presiden (Bahagian Pembangunan Perniagaan dan Jualan) Bursa Carbon Exchange (BCX) Muhammad Rizal Azmi berkata, ini berikutan pemilikan karbon hutan yang luas.
Sehubungan itu kata beliau, Sarawak mampu untuk menjana kredit karbon menerusi projek karbon berasaskan alam semula jadi.
“Memetik ucapan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, Sarawak memiliki kira-kira 60 peratus hutan karbon.
“Jadi ini merupakan potensi yang besar dan apabila kita melihat lebih banyak kemajuan projek berasaskan teknologi seperti penyimpanan tangkapan karbon hidrogen hijau,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada TVS selepas hadir pada Persidangan Peralihan Tenaga Borneo (BETC) 2024 di sini hari ini.
BETC 2024 yang dirasmikan oleh Abang Johari menghimpunkan kira-kira 300 peserta yang terdiri daripada pakar terkemuka dan pemain industri peralihan tenaga dari Asia Pasifik.
Acara ini juga menawarkan pandangan yang boleh direalisasikan mengenai tenaga boleh diperbaharui selain menyokong matlamat Sarawak untuk menjadi wilayah rendah karbon.
Sementara itu, Muhammad Rizal berkata walaupun metodologi untuk perdagangan kredit karbon masih sedang dibangunkan namun ia tidak dapat menafikan potensi besar dimiliki sektor ekonomi hijau berkenaan.
“Sudah tentu terdapat potensi besar daripada projek berasaskan teknologi ini untuk benar-benar membangunkan kredit karbon,” katanya.
Muhammad Rizal juga merupakan salah seorang panel yang berkongsi pandangan beliau mengenai Carbon Market: Scaling and Navigating the South Asian Market.
BETC 2024 yang merupakan persidangan dua hari akan berakhir pada 27 Februari. -TVS