LIMBANG, 26 Feb: Sebuah bangunan rumah kedai lama yang berusia lebih 60 tahun di Jalan Merdeka di bandar ini hangus dalam kebakaran yang berlaku tengah malam tadi.
Ketua Bomba Zon Tujuh Limbang, Ramlan Marajan berkata, kebakaran itu memusnahkan sebahagian dua unit bangunan kedai terbabit.
Beliau berkata, sepasukan anggota bergegas ke lokasi sebaik menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada jam 12.42 tengah malam yang memaklumkan dua unit bangunan kedai berkenaan terbakar.
“Kebakaran memusnahkan sebahagian dua lot kedai runcit di bahagian tingkat bawah bangunan manakala, tingkat dua yang terbakar merupakan rumah yang disewa.
“Api berjaya dikawal sepenuhnya jam 1.30 pagi, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini. -TVS