SIBU, 24 Feb: Pembantu kedai wanita ditemukan berlumuran darah dengan sembilan kesan tikaman di anggota badan dipercayai ditikam bekas teman lelakinya menggunakan senjata tajam dalam kejadian di hadapan lot kedai di Sibujaya di sini, petang semalam.
Wanita berusia 24 tahun dikejarkan ke Hospital Sibu oleh orang awam untuk mendapat rawatan namun disahkan meninggal dunia dalam kejadian itu.
Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner (ACP) Zulkipli Suhaili mengesahkan pihak polis menerima berhubung kes itu.
“Kejadian dipercayai berlaku sekitar jam 3 petang, punca dan motif kejadian masih dalam siasatan. Wanita berkenaan ditemukan terbaring berlumuran darah di hadapan sebuah lot kedai di Sibujaya sebelum dikejarkan ke hospital
“Kita telah dimaklumkan suaminya bahawa mangsa telah meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Sibu pada jam 11.30 malam tadi,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Susulan kejadian tersebut, katanya, seorang suspek lelaki telah berjaya diberkas bagi membantu siasatan lanjut kes.
“Pasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu telah berjaya menangkap suspek berusia 28 tahun pada jam 9.20 malam tadi dan sebilah pisau turut dirampas sebagai barang kes,” ujarnya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. – TVS