KUCHING, Feb 21: Pemergian mantan Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Allahyarham Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud merupakan kehilangan besar kepada ahli keluarga.
Sepupu Tun Taib, Mastura Rapaee berkata raut wajah Allahyarham sentiasa mengingatkannya dengan arwah bapa beliau.
“Allahyarham Tun Taib sentiasa mengingatkan saya kepada arwah bapa saya sebab muka mereka berdua memang seiras,” katanya ketika ditemui di kediaman Tun Taib di sini, hari ini.
Tambahnya, segala tunjuk ajar dan teguran Tun Taib akan beliau simpan dan ingat selamanya.
“Beliau pernah berpesan untuk buat baik berpada-pada, jahat jangan sekali. Kalau ada orang baling batu dengan kita, jangan baling balik sebaliknya jadikan ia sebagai penguat semangat,” tambahnya.
Mastura yang menetap di Kuching memaklumkan beliau menerima perkhabaran menyedihkan itu sebelum subuh pagi tadi.
Tun Taib, 87, meninggal dunia di sebuah hospital di Kuala Lumpur pada 4.40 pagi tadi dan pengurusan jenazah Allahyarham telah dilakukan di Masjid Negara, Kuala Lumpur.
Jenazah Allahyarham telah diterbangkan ke Kuching menggunakan pesawat milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang berlepas dari Pangkalan TUDM Subang.
Kerajaan Sarawak menerusi kenyataan memaklumkan jenazah akan dibawa ke rumah Allahyarham di Demak Jaya, Jalan Bako hari ini sebelum dibawa ke Dewan Undangan Negeri (DUN) esok bagi membolehkan orang ramai memberi penghormatan terakhir bermula dari 8 pagi hingga 11.30 pagi.
Selepas itu, jenazah dijadualkan dibawa ke Masjid Demak berdekatan kediaman Allahyarham untuk disolatkan sebelum dikebumikan dengan istiadat pengebumian negeri di perkuburan keluarga di Demak Jaya.