KUCHING, 18 Feb: Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak sentiasa menyokong usahawan wanita di sini yang mengembangkan warisan wilayah ini menjadi entiti perniagaan yang memanfaatkan masyarakat.
Menterinya, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, beliau berbangga dengan idea kreatif yang dapat memperkasa ekosistem Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) di Sarawak seperti yang dicetuskan oleh usahawan Batik Linut, Dina Rose dari Mukah.
Kata beliau, pembukaan cawangan kedua galeri Batik Linut oleh usahawan berkenaan akan turut menyokong industri hiliran seperti nipah.
“Apabila memperkenalkan Batik Linut, beliau sebenarnya turut membawa produk berasaskan tepung sagu dan membantu usahawan lain. Ini turut melibatkan terendak yang dihasilkan oleh kaum Melanau dengan menggunakan daun rumbia.
“ Jadi secara langsung apabila produk Batik Linut dipromosikan, ia turut membantu industri rumbia,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas hadir merasmikan pembukaan cawangan kedua Batik Linut din Pusat Membeli Belah Tun Jugah di sini hari ini.
Sementara itu, Diana berkata, rekaan Batik Linut juga akan dikembangkan dan tidak hanya bercirikan komuniti Melanau sahaja.
“Motif rekaannya bakal membabitkan corak yang melambangkan orang Iban, Bidayuh, Orang Ulu dan Cina.
“Ia bermula dalam masyarakat Melanau tetapi strukturnya adalah batik Sarawak,” katanya.
Batik Linut merupakan produk baharu hasil cetusan idea dan inovasi Kraftangan Malaysia yang diperkenalkan awal 2019 bagi menyuntik keunikan serta kelainan dalam memartabatkan lagi keunikan batik tempatan.-TVS