LAWAS,18 Feb: Pembukaan Pejabat Perdagangan dan Pelancongan Sarawak (STATOS) di Bandar Seri Begawan, Brunei April ini dijangka mengukuhkan lagi kerjasama pelancongan antara Brunei dan Sarawak.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, pembukaan pejabat itu memudahkan perdagangan, pelancongan dan perniagaan antara Brunei dan Sarawak.
“Saya sudah pergi melawat ke pejabat STATOS itu dan ia sudah siap. Tujuan kita mewujudkan pejabat STATOS di Brunei ialah untuk memperkasakan lagi sektor pelancongan dan juga perdagangan, selain membantu perusahaan kecil dan sederhana,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Program Mesra Persekutuan Perkumpulan Wanita (PPWS) kali keempat Tebingan Sungai Kampung Dato Kuala Lawas hari ini.
Jelas Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar dan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak itu lagi pembukaan pejabat itu di Brunei juga dapat mengenal pasti potensi dari segi pelaburan yang terdapat di Sarawak dan di negara Brunei itu sendiri.
“Sarawak akan melantik Ketua Pegawai Eksekutif dan juga kakitangan-kakitangan untuk mengurus tadbir pejabat itu kelak,” ujarnya.
Pejabat STATOS itu juga akan dilengkapi dengan kemudahan dari segi ruang pejabat untuk pameran yang menumpukan bukan saja sektor pelaburan dan juga beberapa sektor lain. -TVS