SRI AMAN, 18 Feb: Majlis Ramah Tamah Tahun Baharu Cina Sri Aman membuktikan keunikan perpaduan khususnya di Sarawak dalam kebersamaan meraikan sesuatu perayaan.
Ahli Parlimen Sri Aman, Dato Sri Doris Sophia Brodie berkata, ia menunjukkan betapa besar rasa hormat di antara pelbagai kaum di Sri Aman yang dapat hidup bersama walaupun berbeza amalan dan kepercayaan.
Jelasnya, setiap masyarakat di Sri Aman perlu merasa megah dengan semangat perpaduan dan kesatuan yang ada di daerah itu.
“Kita dapat melihat di Simanggang kita ada tokong Ciyun dan tak lama lagi tua pekong, kita juga ada masjid tapi kita dapat hidup aman damai hormat-menghormati faham-memahami antara satu sama yang lain.
“Saya megah apabila saya kata saya orang Sri Aman, saya megah sebab namanya Sri Aman begitulah orang Sri Aman,” katanya ketika berucap pada Majlis Ramah Tamah Tahun Baharu Cina dan Pelancaran Pesta Chap Goh Mei Peringkat Bahagian Sri Aman Tahun 2024 di Pekarangan Tokong Ciyun di sini, malam tadi.
Beliau berharap agar semua pihak dapat terus berkerjasama dalam usaha membawa kemajuan yang lebih pesat datang ke bandar itu secara menyeluruh, tanpa perpaduan dan toleransi yang erat sudah pasti ia akan membawa ketidakstabilan dalam pelbagai bidang sehingga menyukarkan pembangunan untuk dilaksanakan.
Dalam pada itu, katanya,pemerkasaan perarakan Chap Goh Mei di Sri Aman dapat menjadikan aktiviti tersebut satu tarikan kepada pengunjung luar untuk datang ke bandar itu.
“Semua pihak perlu berkerjasama dalam memastikan perarakan tersebut dapat menjadi satu acara yang gilang- gemilang kepada Sri Aman pada tahun-tahun mendatang, melalui perancangan dan pelaksanaan yang lebih teratur sudah pasti acara ini dapat dijadikan satu lagi tarikan pelancongan baharu yang melibatkan perayaan Tahun Baharu Cina.
“Perarakan ini harus kita perkasakan walaupun ia bagi kita meraihkan Chap Goh Mei tapi dalam nama Sri Aman kita harus berkerjasama agar pesta ini terus gilang gemilang di masa depan. Ia juga pasti dapat menarik pelancong datang ke Sri aman untuk melihat suasan pesta cap goh mei diraihkan di sini,” katanya.-TVS