TANJUNG MANIS, 17 Feb: Liputan bekalan air di Bahagian Mukah kini telah mencapai sekitar 83.6 peratus, kata Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Dato Sri Julaihi Narawi.
Menurutnya, peratusan berkenaan merangkumi lima daerah seperti Mukah, Dalat, Matu, Daro dan Tanjung Manis serta tiga daerah kecil di bawahnya iaitu Balingian, Oya dan Igan.
“Bagi menangani masalah bekalan air dan juga memenuhi keperluan bekalan air jangka panjang di Bahagian Mukah, sejumlah RM1.84 bilion kos projek telah diluluskan untuk melaksana 45 buah projek di Bahagian Mukah.
“26 buah projek telah pun siap dan beroperasi manakala empat buah projek sedang dalam pelaksanaan dan 15 buah projek lagi dalam perancangan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Program Pemimpin Bersama Bersama Rakyat dan Majlis Perasmian Bekalan Air Tanjung Manis di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Julaihi mendedahkan kementeriannya komited untuk memohon peruntukan tambahan daripada Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri untuk meneruskan penyediaan infrastruktur bekalan air bagi mencapai liputan penuh bekalan air di Bahagian Mukah.
Mengulas mengenai liputan bekalan air secara keseluruhan di Sarawak, Julaihi memaklumkan dianggarkan pada 85.4 peratus dan liputan di luar bandar pula dianggarkan pada kadar 70.5 peratus.
Kerajaan Sarawak telah memperuntukkan sejumlah RM591.2 juta di bawah Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kedua Belas (KSP RMKe-12) bagi pelaksanaan 101 projek bekalan air untuk dilaksanakan pada tahun ini dan 2025. -TVS