KUCHING, JULAI 5: Gerakan kibarkan bendera putih menyaksikan semakin ramai sukarelawan bersatu hati memberi sumbangan terutamanya dalam bentuk bekalan makanan.
Projek 5+2 (MCO Food Relief) yang dikelolakan oleh Farm Direct Shop menyediakan panti makanan percuma terutama bagi 60 hingga 70 pekerja pembinaan yang berada di sekitar kawasan Stutong.
Kesempitan hidup menyaksikan lebih kurang 560 orang yeng memerlukan bekalan makanan sanggup menunggu dan beratur berjam-jam lamanya demi untuk mendapatkan bekalan makanan.
Mereka dilihat mula beratur seawal jam 9.30 pagi dan ada diantara mereka datang menaiki bas seawal jam 6.30 pagi semata-mata untuk menunggu pemberian makanan yang mula diagihkan pada jam 3 petang.
Sebelum ini, Farm Direct Shop telah memulakan Projek Panti Makanan Percuma 1.0 dan dilihat menerima sambutan yang menggalakan dari sukarelawan individu dan juga badan organisasi yang lain. Kini, Projek Panti Makanan Percuma 2.0 diteruskan lagi bagi membantu ramai lagi keluarga yang tidak berkemampuan mendapatkan makanan ketika musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Projek ini tidak hanya memfokuskan sumbangan makanan tetapi juga inisiatif seperti menawarkan peluang pekerjaan kepada mereka yang kehilangan pekerjaan telah membuka sinar harapan insan yang mengharapkan bantuan sedemikian rupa.
Selain itu, antara sukarelawan yang turut membantu adalah sukarelawan perseorangan dan organisasi permodelan seperti Miss Petite Global (MPG) Sarawak yang bernaung di bawah Tiara Management.
“Saya ingin anak didik saya yang berada dalam industri permodelan menyedari bahawa ramai lagi yang kurang bernasib baik dan sentiasa memikirkan apa yang hendak dimakan pada keesokkanya sekaligus tahu membezakan mereka yang benar-benar susah dengan mereka yang masih lagi berkemampuan” kata Pengarah MPG Nickson Sim.
Sehubungan itu, bagi mereka yang masih berkemampuan diharapkan boleh memberi ruang dan peluang kepada yang hanya benar-benar memerlukan bantuan tersebut.