KUCHING, 3 Feb: Syarikat Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) terlibat secara langsung dalam pembangunan sosial di Sarawak sekali gus berperanan sebagai Rakan Kongsi Tenaga dan Penyelesaian Progresif.
Pengurus Besar PETRONAS Sarawak, Zulaihi Mohd Mantali berkata pihaknya turut optimis meneruskan usaha dalam memperkasakan pembangunan sosial di Sarawak menerusi pelaksanaan Program Impak Sosial.
Menurutnya organisasi itu tidak harus dilihat sebagai sebuah syarikat minyak dan gas semata-mata.
“Bagi kami, perkongsian itu akan berjaya mencipta nilai dan penyelesaian lebih daripada nilai kewangan berbanding transaksi komersial asasnya.
“Perjalanan yang telah kami lalui bersama-sama membuktikan kekuatan perkongsian kami dalam membantu secara kolaboratif mengharungi cabaran, mencari penyelesaian yang inovatif dan mencapai hasil yang positif,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Malam Aprisiasi PETRONAS Bersama Pemegang Taruh di Hotel Riverside Majestic di sini pada Jumaat.
Hadir sama, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak, Prof. Madya Datu Dr Muhammad Abdullah Zaidel.
Selain daripada perniagaan, Zulaihi menambah PETRONAS telah bekerjasama dengan pelbagai agensi daripada segi program berimpak sosial dengan rakan strategik.
Setakat ini, katanya PETRONAS telah berjaya menyediakan bantuan di seluruh Sarawak di bawah tiga tonggak utama iaitu Meningkatkan Taraf Hidup, Memperkasakan Pengetahuan dan Penanaman Hari Esok.
Melalui kerjasama sedemikian tambahnya sama ada dalam perniagaan atau dalam program pembangunan sosial, ia menjadi bukti keazaman Sarawak untuk muncul lebih kuat selepas pandemik COVID-19 ke arah ekonomi yang kukuh serta sistem sokongan yang teguh dalam komuniti. – TVS