Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution. Foto, Bernama.

Program Repatriasi Migran akan dilaksanakan bermula 1 Mac – Saifuddin

ByBernama

PUTRAJAYA, 31 Jan: Kerajaan akan melaksanakan Program Repatriasi Migran bermula 1 Mac ini bagi memudahkan penghantaran pulang warga asing yang tinggal di negara ini secara tidak sah dengan membayar kompaun, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution.

Bercakap pada sidang media khas, beliau berkata menerusi keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri, hari ini,  Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) yang mahu pulang ke negara asal mereka tidak akan dikenakan tindakan pendakwaan.

Sebaliknya, mereka akan dibenarkan pulang setelah membayar kompaun dan akan dikecualikan daripada proses pendakwaan.

“Program ini bersifat pengampunan pulang yang kita akan hebahkan supaya diguna pakai mereka yang terlibat untuk memudahkan penghantaran pulang,” katanya menambah kompaun di antara RM300 hingga RM500 dikenakan bagi setiap kesalahan imigresen yang dilakukan.

Katanya, kesalahan yang akan dikenakan kompaun adalah  memasuki Malaysia tanpa pas (RM500), tinggal di Malaysia melebihi tempoh pas (RM500) dan melanggar syarat pas (RM300).

Sebelum ini, kerajaan telah melaksanakan Program Rekalibrasi Tenaga Kerja yang tamat pada 31 Disember bagi memberi peluang kepada majikan untuk memohon pekerja asing tanpa izin bagi mengisi keperluan tenaga kerja.

Mengenai pembekuan kuota permohonan dan kelulusan pengambilan pekerja asing, Saifuddin berkata keputusan tersebut masih dikekalkan sehingga tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

Beliau berkata tiada keperluan untuk membatalkan pembekuan tersebut memandangkan tenaga asing yang diperlukan untuk sektor-sektor kritikal berkenaan sudah mencukupi.

Katanya, ini termasuk tenaga kerja asing yang diperolehi daripada program Rekalibrasi Tenaga Kerja itu bagi mengisi kekosongan pekerja dalam sektor kritikal iaitu perladangan, perkilangan, pembinaan, pertanian dan perkhidmatan (restoran)

“Susulan itu, Jemaah Menteri pada mesyuarat hari ini juga bersetuju untuk menubuhkan Pusat Kelulusan Setempat (One Stop Centre – OSC) pengurusan pekerja asing diwujudkan semula dan ditempatkan di Kementerian Dalam Negeri (KDN),” katanya. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan