LIMBANG, 30 Jan: Perumpamaan ‘tangan yang memberi lebih baik daripada yang menerima’ cukup dekat dengan warga Hospital Limbang yang mengalu-alukan sumbangan dan aktiviti kebajikan penderma luar dalam membantu hospital itu.
Timbalan Pengarah Hospital Limbang, Dr Nurain Yahya berkata, Hospital Limbang masih memerlukan kemudahan-kemudahan perubatan bagi merawat pesakit ekoran kekangan peruntukan selain pertambahan jumlah pesakit setiap tahun.
Justeru katanya, usaha penderma luar untuk menyumbang kemudahan seperti alat penghawa dingin, mesin hemodialisis, kerusi roda dan bantuan demi keselesaan pesakit di Hospital Limbang amat dialu-alukan, malah jumlah bantuan diberikan menjadi perkara kedua kerana apa yang lebih utama adalah kemurnian hati individu terbabit meringankan beban orang lain.
“Untuk keperluan hospital, kami boleh bahagikan kepada dua, iaitu keperluan klinikal dan non klinikal. Hospital Limbang amat memerlukan kemudahan dan keperluan klinikal seperti mesin-mesin, sejajar dengan perkhidmatan dan pakar-pakar yang bertambah, begitu juga keperluan non klinikal melibatkan kemudahan seperti alat penghawa dingin untuk keselesaan pesakit dan kakitangan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas sumbangan penyerahan tiga alat penghawa dingin, tiga kerusi roda daripada usahawan Brunei Ngui Poh Fook dan isteri Ng Choon Ken kepada Pusat Hemodialisis Hospital Limbang pada Selasa.
Kata Dr Nurain lagi, kemudahan alat penghawa dingin itu amat diperlukan bagi menganti kerosakan alat penghawa dingin di pusat berkenaan sejak empat bulan lalu.
Manakala kemudahan kerusi roda itu sudah pasti dapat memudahkan ahli keluarga membawa pesakit yang sukar berjalan melakukan hemodialisis.
Beliau turut berterima kasih kepada penderma yang bermurah hati menyumbang kemudahan perubatan demi keselesaan pesakit di Hospital Limbang. -TVS