Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Satu video memaparkan seorang anggota polis trafik menahan kenderaan dinaiki pasangan pelancong dari United Kingdom di Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands dekat sini yang tular di media sosial semalam. Foto YouTube TREAD the globe.

Tiga polis trafik direman kes ‘saman’ RM100 kepada pelancong UK

IPOH, 30 Jan: Tiga anggota polis trafik yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak direman bagi membantu siasatan kes meminta wang daripada pasangan pelancong dari United Kingdom (UK) untuk menyelesaikan saman trafik yang tular di media sosial semalam.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, suspek berusia 37 hingga 42 tahun itu ditahan hari ini sehingga 1 Februari selepas pihaknya menerima satu laporan berhubung kejadian itu.

Kata beliau, siasatan dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan, Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988.

“Kertas siasatan kes telah diambil alih oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, JSJ Bukit Aman dan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya apabila siasatan telah lengkap.

“Siasatan dalaman oleh Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Bukit Aman juga turut dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Mohd Yusri, pihaknya meminta mangsa yang terlibat dalam kes itu untuk tampil memberikan kerjasama kepada polis agar siasatan dapat dilengkapkan dengan segera.

“Pada masa sama, orang awam dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi terhadap kes ini hingga menjejaskan siasatan polis.

“Pihak polis memandang serius integriti dan tingkah laku warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) selain tidak akan berkompromi terhadap sebarang salah laku yang dibuat mana-mana warga PDRM,” katanya lagi.

Terdahulu, media melaporkan satu rakaman video tular di media sosial yang memaparkan seorang anggota polis trafik menahan sebuah kenderaan dinaiki pasangan warga UK di Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands dekat sini.

Anggota itu mendakwa kenderaan tersebut dipandu melebihi had laju sebelum memberitahu akan mengeluarkan saman.

Polis tersebut memaklumkan saman dikenakan RM300 dan perlu dibayar di balai polis namun hanya perlu membayar RM100 jika dibayar kepadanya sebelum pasangan itu menyerahkan wang berkenaan. – TVS

 

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan