KUCHING, 30 Jan: Permohonan bagi tapak jualan Bazar Ramadan Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) 2024 kini dibuka hingga 13 Februari depan.
Datuk Bandar Kuching Selatan, Dato Wee Hong Seng berkata sebanyak 160 tapak jualan disediakan pada tahun ini yang akan bertapak di kawasan parkir Pasar Komuniti Stutong bermula 12 Mac hingga 9 April 2024.
“Sesi taklimat dan proses pengundian akan diadakan pada hari Isnin, 4 Mac 2024 di Auditorium MBKS dan menyediakan vendor dengan maklumat penting dan memastikan peruntukan gerai yang adil.
“Yuran bagi setiap gerai ditetapkan pada RM250 dengan deposit keselamatan yang akan dikembalikan sebanyak RM100 seperti yang dikenakan pada sebelum ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Bazar Ramadan MBKS 2024 di Bangunan MBKS di sini pada Selasa.
Menurut Wee peruntukan gerai merangkumi 24 gerai minuman, 60 gerai makanan bermasak (lauk pauk), 54 gerai kuih muih, dan 22 gerai panggang.
“Bazar Ramadan MBKS jelasnya berfungsi sebagai bukti kekayaan warisan budaya dan semangat antara kaum di kawasan Kuching Selatan,” ujarnya.
Wee mendedahkan pelbagai juadah akan dijual seperti makanan tradisional masyarakat Melayu dan termasuk hidangan BBQ yang menyelerakan,
“Bazar Ramadan MBKS 2024 menjanjikan pengalaman kulinari yang tidak dapat dilupakan untuk semua yang hadir,” jelasnya.-TVS