KUCHING, 27 Jan: Pengalaman luas dimiliki Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dalam perkhidmatan awam dan pentadbiran kerajaan menjadi aset kepada Sarawak sebagai penghubung dengan Kerajaan Persekutuan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, pengalaman tujuh penggal sebagai ahli parlimen membolehkan Wan Junaidi memahami secara mendalam selok-belok Sarawak serta sentimen rakyat di Bumi Kenyalang.
“Pengalaman dia…latar belakang sebagai anggota polis, kemudian menjadi peguam, menjadi ahli parlimen, menjadi menteri dan banyak juga menulis buku sebenarnya dan yang terakhir sekali menjadi timbalan speaker dan menjadi speaker dewan negara.
“Jadi maknanya pengalaman yang luas itulah dan penglibatan dalam pelbagai NGO dan sebagainya sudah pasti beliau memahami. Dia pun dah menjelajah seluruh Sarawak sudah pasti dia mengetahui apa latar belakang Sarawak apa keperluan sarawak dan dengan itu saya kira ada hubungan baik juga di antara negeri dan persekutuan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di Majlis Perasmian Gelanggang Silat Al Qamar Merpati dan Pengisytiharan Pemakaian Tanjak Serinding Oleh Pertubuhan Silat Sendeng Sarawak di Yayasan Budaya Melayu Sarawak hari ini.
Wan Junaidi mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Riâayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk dilantik sebagai Tuan Yang Terutama (TYT) Sarawak berkuat kuasa semalam, menggantikan Tun Abdul Taib Mahmud yang telah berkhidmat selama 10 tahun sejak 1 Mac 2014. -TVS