KUALA NERANG, 26 Jan: Pasukan Tentera Darat Malaysia (TDM) menggagalkan satu kegiatan penyeludupan daun ketum selepas menahan sebuah kenderaan pikap bersama lebih 1.7 tan daun ketum di kawasan sempadan Malaysia-Thailand di sini hari ini.
Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (2 Divisyen) dalam satu kenyataan berkata, pasukan tersebut telah menemui sebuah pikap tanpa pemandu di sektor Kawasan Tanggungjawab Briged Keenam Infantri Malaysia pada kira-kira 7.15 pagi.
“Pasukan beroperasi yang sedang melaksanakan tugas rondaan mendapati kenderaan tersebut ditinggalkan dalam keadaan mencurigakan di kawasan hutan berdekatan sempadan negara.
“Hasil siasatan mendapati 116 bungkusan mengandungi daun ketum dengan berat keseluruhan 1,740 kilogram yang dianggarkan bernilai RM52,200 berada di dalam kenderaan tersebut,” kata kenyataan itu hari ini.
Ujar kenyataan berkenaan, kesemua bungkusan dan kenderaan tersebut yang keseluruhannya dianggarkan bernilai RM150,200 telah diserahkan kepada Balai Polis Kuala Nerang untuk tindakan selanjutnya.
Katanya, pasukan beroperasi akan sentiasa komited mengawal sempadan negara bagi memastikan keselamatan kawasan sempadan sentiasa terpelihara. – TVS