Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Seorang wanita mengaku di Mahkamah Tinggi di sini bahawa beliau telah menikam bekas suaminya, Nurman Bakaratu dengan gunting.

Kes ESSCOM: Wanita mengaku bunuh bekas suami dengan gunting

ByBernama

TAWAU, 25 Jan: Seorang wanita mengaku di Mahkamah Tinggi di sini bahawa beliau telah menikam bekas suaminya, Nurman Bakaratu dengan gunting selepas berlaku pertengkaran antara mereka di dalam sebuah kereta Perodua Myvi di ladang kelapa sawit pada malam 13 Jan tahun lepas.

Nurimah Juli, 35, berkata pada hari berkenaan lebih kurang pukul 7 malam, beliau dan Nurman pergi ke ladang kelapa sawit menaiki kereta Myvi berwarna putih yang dipandu arwah, yang terletak 25 minit daripada sebuah hotel di sini untuk berbincang mengenai pernikahan semula mereka.

“Saya ajak arwah Nurman pergi ke ladang itu dan dia tanya ‘apa dan siapa ada di sana. Saya kata kau nak nikah sangat dengan saya dan dia cakap ya, saya betul-betul mau nikah sama kau. Saya terus bawa dia ke ladang dan sepanjang perjalanan kami bertengkar kerana dia cakap dia tidak nampak siapa wali saya (untuk bernikah).

Saya guna Google maps untuk pergi ke sana dan kami tiba di ladang kelapa sawit itu kira-kira 8 malam. Semasa masuk ke simpang ladang kelapa sawit, saya memilih sendiri jalan sebelah kiri dan berhenti di situ. Ketika itu arwah marah pada saya dan kata ‘kau mau main-main sahaja’. saya cuba tekan maps tetapi tidak dapat, saya pindah dari tempat duduk sebelah pemandu ke belakang pemandu,” katanya semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Rohaiza Abd Rahman di hadapan Hakim Datuk Duncan Sikodol.

Nurimah berkata apabila sampai ke satu tempat berpokok besar, dia ditampar oleh bekas suaminya di muka dan dia naik berang dan cuba melawan balik Nurman.

“Dia kata kau ini menipu saja sama saya. Kau tidak mau nikah sama saya dan arwah meminta mereka patah balik kerana di situ jalan mati.

Selepas itu, dia cuba pusing balik dan waktu itu dia pukul saya dengan tangan kirinya. Kemudian saya tidak dapat kawal emosi dan terus ambil gunting dalam beg saya dan menikamnya. Tiada sesiapa berada di situ,” katanya.

Saksi pendakwaan ke-23 itu berkata demikian semasa hari kelapan perbicaraan kes bunuh Nurman, 61, membabitkan lapan tertuduh iaitu bekas Ketua Staf Perisikan Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) Datuk Mat Zaki Md Zain, enam anggota polis dan seorang awam.

Rosdi Rastam, 45, Denis Anit, 45, Fabian Rungam, 44, Khairul Azman Bakar, 47, Mohd Azlan Sakaran, 40, John Kennedy Sanggah, 44, dan Vivien Fabian, 34, didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah ladang kelapa sawit berdekatan Jalan Anjur Juara, Jalan Apas Batu 5 di sini, antara 7.30 hingga 11.30 malam pada 13 Januari tahun lepas.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.

Mat Zaki, 59, pula didakwa dengan dua pertuduhan iaitu bersubahat membunuh Nurman mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 302 kanun sama.

Disoal TPR Rohaiza, apakah tujuan saksi membawa arwah ke ladang kelapa sawit, Nurimah menjawab, “Pada masa itu saya tidak pasti apa tujuan sebenar saya tetapi dia mendesak mahu menikah dan minta wali keluarga, jadi saya tidak tahu buat apa dan kami bergaduh dalam kereta”.

Kepada soalan Rohaiza, saksi berkata pada 12 Jan 2023, arwah ada menghubungi dan meminta untuk berjumpa bagi memulangkan telefon yang dirampas arwah pada 9 Jan di sebuah kelab di Lahad Datu.

“Dia juga merayu ingin merujuk balik dengan saya dan minta untuk bernikah dengan saya. Saya setuju dan cadangkan kami pergi ke Tawau. Kami tiba di Tawau pada 12 Jan dan keesokannya, arwah mengajak saya membeli baju dan cincin nikah,” katanya yang sebelum ini bernikah dengan Nurman pada 2017 sebelum bercerai pada 2021.

Disoal TPR Rohaiza mengenai hubungan saksi itu dengan Nurman selepas bercerai, wanita itu menjawab “hubungan kami memang tidak baik dan selepas bercerai, Nurman masih mengekorinya di mana sahaja saya bekerja”.

Mat Zaki bersama tujuh lelaki itu hari ini dilepas dan dibebaskan oleh mahkamah atas pertuduhan masing-masing selepas pendakwaan memaklumkan tidak mahu meneruskan kes terhadap kesemua tertuduh selepas mendengar keterangan Nurimah yang mengaku membunuh Nurman. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan