Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan bersama penerima anugerah 'The Sarawak Entrepreneur Award (EOYS) 2023'. Foto, Fiqri Razak (TVS)

Kerajaan Sarawak teruskan bantuan Bizfund, SKMS – Awang Tengah

ByAkma Salleh

KUCHING, 25 Jan: Kerajaan Sarawak akan meneruskan bantuan kewangan dalam bentuk pinjaman mudah sehingga RM50,000 di bawah Skim Kredit Mikro Sarawak (SKMS) dan Dana Bantuan Pemulihan Perniagaan (BizFund).

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, bantuan yang disediakan itu bertujuan untuk membantu pembiayaan dan menyediakan keperluan untuk perniagaan.

Kata beliau yang juga Menteri Perdagangan Antarababangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak, inisiatif berkenaan menunjukkan langkah proaktif oleh Kerajaan Sarawak untuk membantu peniaga kecil, usahawan mikro serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk menjana pendapatan.

“Bantuan yang disediakan kepada usahawan untuk mengembangkan atau mempelbagaikan perniagaan mereka ini (sebenarnya) pada kadar faedah sifar atau faedah yang rendah.

“Bagi usahawan Bumiputera dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan, bantuan kewangan dalam bentuk pinjaman mudah sehingga RM250,000 turut disediakan di bawah Skim Pinjaman Industri Kecil dan Sederhana (SPIKS),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam ‘Gong Xi Fa Cai’ dan The Sarawak Entrepreneur Award (EOYS) 2023 anjuran Dewan Perdagangan dan Perindustrian Sarawak (SCCI) di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini malam tadi.

Yang turut hadir, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Sementara itu Awang Tengah berkata, bagi memupuk keusahawanan dan penggunaan teknologi, Kerajaan Sarawak juga menyediakan geran Graduan ke arah keusahawanan (GERAK), Usahawan Teknikal dan Vokasional (USTEV) dan program Go Digital untuk membantu graduan, lepasan sekolah dan memulakan atau mengembangkan perniagaan mereka.

Selain itu, Awang Tengah turut menggesa usahawan untuk menyokong inisiatif peralihan mampan menerusi penggunaan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG).

“Dengan peluang ekonomi baharu ini, Sarawak akan terus menjadi destinasi yang menarik dan pilihan pelabur.

“Oleh itu, saya ingin menggesa PKS di sini supaya memanfaatkan peluang perniagaan ini sebagai sebahagian daripada rantaian bekalan untuk menyokong pelaburan domestik dan asing di Sarawak,” katanya lagi. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan