JAKARTA, 25 Jan: Jaguh badminton negara, Lee Zii Jia mara ke pusingan kedua Kejohanan Indonesia Masters 2024 setelah menyingkirkan pemain India, Kidambi Srinkanth.
Aksi di Istora Senayan itu berlangsung sengit sehingga set penentuan.
Zii Jia bermula perlahan apabila tewas 19-21 sebelum bangkit dengan 21-14 dan 22-11 dalam masa 54 minit.
Pemain nombor 10 dunia itu berkata, dia berharap dapat meneruskan aksi konsisten pada kejohanan ini selepas memulakan 2024 dengan baik dengan mara ke suku akhir Terbuka India.
“Terbuka India menjadi permulaan yang baik kepada saya tahun ini berbanding tahun lalu.
“Pada 2023, saya sering bergelut pada pusingan awal dan pada kejohanan ini (Indonesia Masters 2024) saya tampil lebih yakin,” katanya kepada media selepas perlawanan.
Zii Jia juga berharap dapat menamatkan Indonesia Masters 2024 dengan meraih pingat selain mensasarkan untuk layak ke Sukan Olimpik 2024 di Paris.
“Oleh itu meraih keputusan terbaik dalam setiap kejohanan sangat penting,” katanya.
Sementara itu, Leong Jun Hao mencipta kejutan apabila mara ke pusingan kedua selepas menewaskan wakil Jepun, Kenta Nishimoto dengan keputusan 21-17, 21-17.
Jun Hao apabila bakal berdepan tugas getir menentang pemain nombor satu Indonesia, Anthony Sinisuka Ginting.
Beregu campuran negara, Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai turut layak apabila menumpaskan pasangan muda Thailand, Ruttanapak Oupthong-Jhenica Sudjaipraparat dengan keputusan 21-15, 21-15.
Sementara itu, tiga beregu lelaki negara turut mara ke pusingan kedua.
Choong Hon Jian- Muhammad Haikal mencatatkan kemenangan 21-16 dan 21-18 ke atas pasangan Taiwan, Wei Chu Wei dan Wu Guan Xun manakala Man Wei Chong dan Tee Kai Wun menewaskan Andreas Sonddergaard dan Jesper Toft dari Denmark dengan keputusan 17-21, 21-10 dan 21-14.
Beregu profesional negara, Ong Yew Sin dan Teo Ee Yi pula menyingkirkan wakil Republik Czech. -TVS