KUCHING, 24 Jan: Kes tuntutan Sulu terhadap Malaysia telah membuka mata negara-negara luar untuk melihat semula isu timbang tara antarabangsa.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Azalina Othman Said berkata, kerjasama antara semua negara diperlukan bagi menilai kelemahan pada undang-undang dan penyalahgunaan proses timbang tara.
Malaysia menang lagi kes tuntutan Sulu, matikan gerakan rampas aset negara – Azalina
Kata beliau, banyak negara yang mengikuti rapat cara pengendalian Malaysia berdepan tuntutan berkenaan.
“(Oleh itu) negara-negara di seluruh dunia perlu bekerjasama (bagi) melihat kepada kelemahan undang-undang dan penyalahgunaan proses timbang tara hasil daripada kes ini.
“Ini penting bagi mengelakkan berulangnya isu ini membabitkan negara lain,” katanya dalam kenyataan di laman X.
Terdahulu, Penimbang tara Sepanyol yang terbabit dalam tuntutan kumpulan Sulu, Gonzalo Stampa didapati bersalah melakukan penghinaan mahkamah dan dihukum penjara selama enam bulan oleh mahkamah Sepanyol.
Stampa turut dikenakan larangan untuk menjalankan tugas sebagai penimbang tara selama setahun.
Pada 11 Disember lalu, Azalina memaklumkan mahkamah Sepanyol, Perancis dan Belanda mengesahkan kedudukan Malaysia berhubung kes Sulu dan mengenai Anugerah Sulu yang dikeluarkan Stampa yang menuntut Malaysia membayar pampasan AS$14.9 bilion.
Mahkamah di Perancis dan Belanda juga mengisytiharkan Malaysia tidak pernah bersetuju untuk membawa perkara itu kepada timbang tara.
Sementara itu, semalam Azalina turut menerima kunjungan daripada Kor Diplomatik Eropah yang telah membentuk Kumpulan Kerja antara Negara-negara Anggota Kesatuan Eropah dan Malaysia.
Menurutnya, perbincangan bersama delegasi tersebut akan menjadi pemula kepada kerjasama untuk melihat isu-isu timbang tara antarabangsa, termasuk pembiayaan daripada pihak ketiga, selain amalan terbaik dan kod etika penimbang tara.
Beliau turut menegaskan bahawa Kerajaan Madani di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak akan berkompromi dengan ancaman dan akan terus mempertahan kedaulatan negara. -TVS