LAWAS, 23 Jan: Bantuan Khas Pesakit Buah Pinggang (BKPBP) merupakan inisiatif Kerajaan Sarawak untuk membantu meringankan beban kewangan pesakit buah pinggang terutama golongan B40 di Sarawak.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, ia dilaksanakan bagi meringankan bebanan pesakit yang memerlukan rawatan untuk penyakit buah pinggang yang telah didiagnosis dengan End Stage Renal Failure (ESRF) iaitu kegagalan buah pinggang tahap akhir.
Perkhidmatan itu katanya, diberikan percuma di hospital kerajaan atau klinik kesihatan kerajaan namun pesakit juga perlu melakukannya di pusat perubatan swasta sekiranya perkhidmatan itu sudah penuh di pusat perubatan kerajaan.
“Di sarawak ada inisiatif yang dilaksanakan oleh Kerajaan Sarawak melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat antaranya BKPBP dalam membantu pesakit buah pinggang, terutamanya pesakit yang tidak dapat menjalankan hemodialisisnya di hospital kerajaan dan terpaksa mendapatkan khidmat yang disediakan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atapun swasta,” katanya ketika berucap pada Majlis Sejambak Kasih Tahun Baru Cina Bahagian Limbang di Hotel Sri Malaysia, Lawas pada Selasa.
Jelasnya, KPWKK melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat telah menyalurkan dua buah mesin hemodialisis yang bernilai RM82,300 bagi kegunaan pesakit buah pinggang di Hospital Lawas. -TVS.