LAWAS, 23 Jan: Wanita yang kesunyian serta mereka yang berusia sekitar 50 tahun merupakan sasaran utama sindiket penipuan cinta atau ‘love scam’ yang banyak memerangkap dan memperdaya wanita di Sarawak.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWKKK) Dato Sri Fatimah Abdullah berkata dua faktor berkenaan menjadi modus operandi sindiket tersebut.
“ Sekarang ini pun kita kongsikan di media sosial, maklumat tentang scammer, apa yang dilakukan oleh scammer ini termasuk kumpulan sasarannya dan lingkungan umur dan memang dikatakan scammer ini mereka mengaku fokus mereka memang terhadap wanita, yang kesunyian berumur 50 ke atas,” katanya ketika ditemui media selepas Majlis Sejambak Kasih Tahun Baru Cina Bahagian Limbang di Hotel Sri Malaysia, Lawas pada Selasa.
Beliau menambah golongan ini juga kebiasaannya turut menyasarkan sasaran wanita yang sudah berpencen serta mereka memiliki banyak sumber kewangan.
Selain ‘Love Scam’, terdapat juga kes wanita di Sarawak turut menjadi mangsa penipuan pekerjaan atau ‘job scam’ yang menyasarkan wanita lebih muda.
Wanita-wanita ini katanya akan direkrut oleh sindiket berkenaan denagn kaedah serta skrip penipuan tertentu bagi memperdaya mangsa.
Sehubungan itu, Fatimah memberitahu bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai isu tersebut, KPWKKK telah mengadakan program Jangkauan Ceramai Anti Scam bersama Majlis Wanita dan Keluarga Sarawak serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) -TVS